Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Selamat datang ke Desasiswa Indah Kembara, Universiti Sains Malaysia (USM).

Terlebih dahulu saya, bagi pihak kakitangan pengurusan dan pentadbiran Desasiswa Indah Kembara, ingin merakamkan ucapan TAHNIAH kepada semua siswa-siswi yang telah berjaya mendapat tempat di USM) dan seterusnya merealisasikan impian anda untuk menjadi penuntut universiti. Semoga kejayaan ini akan mengubah masa hadapan anda semua dalam usaha untuk menempa kejayaan yang lebih besar demi diri anda sendiri, keluarga dan masyarakat pada masa-masa akan datang. Kami amat mengalu-alukan kehadiran anda semua untuk menjadi warga Desasiswa Indah Kembara.

Peluang untuk belajar di USM, yang telah diiktiraf sebagai Universiti APEX yang ulung di negara ini, adalah suatu peluang yang menjadi rebutan ramai pelajar dan ia tidak mampu capai oleh semua orang di luar sana. Anda dan ibu bapa masing-masing sepatutnya bersyukur kepada Tuhan dan berbangga dengan kejayaan ini kerana ia telah memberi satu nilai tambah bagi diri dan keluarga anda. Sebagai siswa-siswi USM, gunalah peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk memperkasakan ilmu, bakat dan minat saudara-saudari di universiti ini. Pihak Desasiswa Indah Kembara khasnya, dan USM amnya, sentiasa berlapang dada untuk menyediakan apa jua kemudahan dan suasana pembelajaran yang kondusif untuk anda demi menyokong perjuangan anda di persada universiti ini.

Saya berharap di sepanjang penginapan anda di desasiswa ini, anda akan menjadi seorang siswa-siswi yang berdedikasi, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran kehidupan anda yang baharu. Jadilah warga Desasiswa Indah Kembara yang menjunjung komitmen dan menghargai akal budi. Sematkan tekad yang murni untuk memberi sedikit sumbangan bermakna kepada pembangunan dan kejayaan desasiswa yang tercinta ini. Jadikanlah desasiswa ini sebagai rumah kedua anda yang sepatutnya diserikan dengan tatacara kehidupan yang berhemah dan harmoni.

Akhir kata, kepada semua siswa-siswi Desasiswa Indah Kembara, marilah kita sematkan tekad: Anda cemerlang, Indah Kembara gemilang, USM terbilang! Selamat maju jaya.

 

PUAN SITI HAWA MAT JUNOH

Penggawa